Kerana kami hamba yang jahil.
Kerana kami hamba ingkar.
Kerana kami hamba alpa.
Kami perlu terus ditunjuk.
Kami perlu terus dididik.
Kami perlu terus diajar.
Maka terus kami diuji.
Maka terus kami dinilai.
Maka terus kami dicuba.
Namun jangan Kau bebani kami dengan apa yang tidak tertanggung oleh kami wahai Tuhan.
Namun jika dengan dugaan-Mu itu wahai Tuhan hanya cara yang mampu membangunkan kami dari lena khayalan dunia nafsu ini ya Tuhan, teruskan.
Namun kalau kira dugaan-Mu itu sampai satu ketika akan menelanjangkan iman kami yang nyata lebih nipis daripada kulitnya bawang, Kau perteguhkan anyaman urat benang iman kami.
Saat andai dunia ini membutakan mata untuk melihat erti kekesalan kami wahai Tuhan, aku pohon rayu ihsan-Mu agar jangan Kau berpaling daripada kami.
Jangan sampai hilang percaya kami kepada keadilan yang telah Kau janjikan kepada kami wahai Tuhan.
Andai jatuh menitis air mata kami menyembah bumi kerana pundak kami berasa terbeban akan ujian Kau yang kadang-kala ya Tuhan terlampau hebat, berikanlah kami kira sezarah kekuatan agar makin dekat kami kepada Kau.
Jika kami tiada lagi percaya kepada Kau wahai Tuhan.
Apalah lagi ertinya jasad kami, roh kami, jiwa kami wahai Tuhan?
Dan kepada kami, teruskan yakin andai tiba tika waktu ibarat berat sedunia jatuh menghempas kita bahawa masih ada kami yang lain untuk terus berada, masih ada Kau yang abadi berada.
Dengan izin Tuhan. Pasti.
No comments:
Post a Comment