Saturday, November 6, 2010

096

Bahasa.
Ya.
Suatu medium yang gah dirinya walaupun kebanyakan daripada kita ini mengabaikannya. 
Atau mungkin juga ada yang meletakkan status pada sesuatu bahasa.
Ketahuilah oleh kamu semua manusia sesungguhnya bahasa itu kurniaNya.
Semua bahasa itu indah.
Semua bahasa itu gah.
Semua bahasa itu agung.
Namun kenapa masih ada antara kita yang meletakkan sesuatu label pada bahasa?
"Bandar" bangga katanya jika berhabuk bicaranya dalam sesuatu bahasa itu.
"Kuno" pula hinanya jika tidak cair bahasa itu pada lidah si polan itu.
Layakkah kamu yang sekadar bergelar manusia untuk meletakkan label itu?
Adakah kamu yang mencipta bahasa itu?
Angkuh galak manusia ini.
Tidak sedar akan tarafnya yang pada hakikat sekadar hamba melata di bumi ini.
Sekadar meminjam setiap zarah yang ada pada tubuh mereka, yang mengalir dalam belikat mereka, termasuk bahasa yang mereka tuturkan itu.
Jangan kau malu jika lidahmu itu lidah Melayu.
Jangan pula bongkak jika lidahmu itu Mat Salleh kononnya.
Benar bahasa itu jiwa bangsa.
Akan tetapi jika kau sendiri malu untuk mengaku bahasa yang ada pada bangsa kau.
Maka nescaya akan musnah bangsa itu.
Bagaimanakan dapat bangsa itu bertahan jika jiwanya tidak ampuh?
Tidak salah sama sekali menguasai bahasa lain.
Tetapi alangkah lebih mulia sekiranya bahasa bangsa sendiri turut dikuasai.

Ya.
Perkasa Sang Bahasa itu.
Mampu melemahkan jiwa.
Mampu membangkitkan rasa.
Mampu mengukir sejuta lakaran ilmu.

Andai bahasa itu punya jasad seperti kita.
Pasti berkata-kata ia bahawa "Kami juga seperti kamu manusia. Tampak berbeza. Zahirnya berbeza. Tapi kami semua serupa. Kami semua BAHASA."
Maka janganlah dilupa Bahasa Melayu.
Kerana harapnya kata-kata Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia." itu benar termakbul.

Embrace your mother tongue because it is the Mother of your tongue.

No comments: